Sunday, May 10, 2009

Tazkirah hujung minggu

Salam,

PERINGATAN...!!! Sekali lagi penulis blog santai ingin mengingatkan pengunjung blog ini bahawa artikel di bawah adalah dipetik daripada perkhidmatanawam.blogspot.com dan merupakan petikan berita daripada BERNAMA. Pada pandangan penulis artikel ini sangat berguna untuk memberi peringatan buat diri ini dan penulis juga ingin berkongsi dengan pengunjung blog ini yang sudi membuka minda menerima apa yang baik yang disampaikan dalam artikel ini.

Penulis tidak sedikit pun ingin bermaksud negatif menujukan artikel ini kepada sesiapa walaupun kepada mereka yang berkunjung ke sini untuk mencari kesilapan dan kelemahan. Apa yang ingin dicapai ialah yang positif belaka. Sesungguhnya manusia itu memang tidak boleh lari dari kesilapan.....mohon ampun dan maaf yer...

Bah....selamat bersantai dengan tazkirah di hujung minggu....

PERKHIDMATAN AWAM DISARAN SERAP PRINSIP 6M BAGI PERKASA PERKHIDMATAN

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Prinsip Musyaratah yang bermakna menepati syarat kejayaan yang menjadi sifat Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan amanah perlu dijadikan tanda aras oleh pemimpin perkhidmatan awam bagi memperkasakan perkhidmatan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika mengemukakan cadangan itu berkata, Musyaratah merupakan satu daripada enam prinsip dalam Islam yang boleh diaplikasikan dalam pentadbiran seharian.

"Dengan wawasan, pemikiran yang jelas dan melangkaui masa, sifat dan keterampilan baginda seharusnya dijadikan asas dalam mentadbir bagi menzahirkan perkhidmatan berkualiti.

"Prinsip Musyaratah menghendaki pemimpinnya mempunyai sifat-sifat unggul seterusnya berupaya menerajui organisasi ke arah kecemerlangan," katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran Dalam Perkhdimatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, Isnin.

Jamil Khir berkata, prinsip dan pendekatan Islam lain yang boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran awam ialah Mua'tabah yang bermakna mengikis sifat buruk, Mu'aqabah mengekalkan tindakan benar secara berterusan, Muroqobah mengawal diri secara berterusan, Muhasabah yang bererti menilai diri dan Mujahadah yang bermakna berusaha bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, jika Prinsip 6M tersebut dipenuhi beliau yakin pemimpin-pemimpin jabatan akan berupaya menerajui dan membawa organisasi ke arah kecemerlangan yang berpanjangan.

Memberikan prinsip Muroqobah atau mengawal diri secara berterusan sebagai contoh beliau berkata, pemimpin jabatan atau kakitangan perkhidmatan akan sentiasa mengawal tingkah laku dan tindakan supaya ketinggian martabat insan yang dianugerahkan Allah sentiasa terpelihara.

Secara tidak langsung ia akan membantu kita untuk mengawal tindakan dan perlakuan daripada tamak, terlalu kebendaan dan melanggar undang-undang yang mana kecenderungannya lebih ke arah kemusnahan, katanya.

Melalui prinsip Muhasabah diri, permasalahan seperti situasi di mana majikan atau pekerja menghadapi dilema dalam membuat penilaian, seringkali masalah keadilan, kejujuran dan maklumat yang tidak lengkap digunakan sebagai alasan untuk mempertahankan diri di samping menyalahkan pihak lain.

Jamil Khir berkata, melalui prinsip Islam masalah itu cukup mudah untuk diselesaikan kerana sekiranya pegawai dan kakitangan bawahan sanggup dengan ikhlas bermuhasabah serta menjauhkan diri daripada sifat-sifat hipokrit, maka organisasi akan dapat mengenal pasti sahsiah, keterampilan dan kewibawaan sebenar pegawai dan secara tidak langsung akan dapat meletakkan seseorang pegawai pada posisi yang sebetulnya.

Berikutan harapan yang tinggi diletakkan rakyat terhadap perkhidmatan awam Jamil Khir turut menyarankan prinsip Mujahadah iaitu berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua tugas.

Kerajaan dan orang ramai hanya inginkan penjawat awam dapat mempersiapkan diri dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kehendak pengguna dapat dilaksanakan dengan berkesan, katanya.

Dalam ucapannya Jamil Khir turut berharap proses penambahbaikan akan terus berlaku dalam perkhidmatan awam di Malaysia kerana sebagai sebuah negara sedang membangun, negara memerlukan perkhidmatan awam yang dinamik yang mampu mengambil, menyerap dan memberi tindak balas kepada perubahan sekeliling supaya tidak ketinggalan dan yang lebih penting terus kekal relevan dalam arus perdana yang semakin kompleks dan mencabar.

Seminar selama dua hari yang bertujuan mendapatkan perspektif yang lebih jelas dan tepat berhubung konsep kepimpinan Islam dalam konteks perkhidmatan awam itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan anggota pentadbiran kerajaan.

Tamat artikel.

Selamat santai....






3 comments:

Takilala said...

100% stuju ngan artikel ni.

Anonymous said...

Ana muafiq jiddan2 bi hazihittazkirah. Syukran lil ustaz..

Harap ianya menjadi peringatan kpd semua pemimpin tidak kira dalam mana2 organisasi dan jg kpd mrk yg baru atau yg berhasrat nak jd pemimpin..

ikhlas:santai follower

mendewa said...

Kesedaran amat penting...baik yang di atas mahu pun yang di bawah. Saling menghormati akan memudahkan segala urusan dan perancangan.

Peringatan yang cukup baik buat kita yang memikul amanah ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails