Wednesday, April 22, 2009

Festival Nasyid la pulak....

Salam,

Sebelum memula bicara hari ni, terima kasih daun keladi diucap kepada semua yang memberi komen posting semalam dari aranam, takilala dan yusman yang pandai meracun suh angkat dslr (tak tertahan dah dugaan nih), juLia de wHitesiLk @ meng (panggilan manja di rumah), guru_cikgu, me n myself (si azeyana yantie ex smkm2), mr reds from jb and last but not least lanzNY from new york sei...(geng KPLIPA MPTAA)...dan yang lain-lain yang mungkin belum sempat singgah sini....jgn lupa singgah sini slalu yer...

Minggu ni memang minggu yang tersangat sibuk dengan macam-macam program. Semalam mesyuarat Penyelarasan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Pendidikan Islam PMR di PPD Beaufort. Kebetulan tahun ni dah tak ada lagi "bahagian" di Sabah ni bagi pendidikan dan semua pakai "daerah" maka kena lantik la pulak sebagai Ketua Pentaksir Kawasan. Jenuh dah nnolak mintak ganti orang lain. Malangnya semua orang menolak jugak...tu yang susah ni kena buat kerja tambahan....mana ngan mengajar lagi dan nak mengurus sekolah orang lagi...isskk...leceh betul...

Ok la, hari ni kebetulan lepas "punch card" ada plak surat jemputan kat "pigeon hole" yang dah ditandatangani oleh "big boss". Jemputan menjadi hakim Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Rendah Zon Membakut. Alamak...dah la terpakai uniform hari ni sebab ada kokum....belasah jer lah...Hmm, tu la...kalu dah jadi cekgu ni memang tak putus-putus ngan aktiviti pelajar. Tinggal kita nak atau tidak jer sebenarnya...kan. Kalau malas dan tak nak, tak yah lah sibuk-sibukkan diri. Oleh kerana orang dah jemput dan tak nak menghampakan ustaz-ustaz jugak yang menjemput tu, maka terjadilah HAKIM untuk memeriahkan Festival Nasyid pagi tadi.....

Ni nah beberapa gambar yang di ambil oleh Ustaz Azhan Nordin dari SK Saga-Saga selaku Timbalan Pengerusi Jemaah Hakim pagi tadi....

Camana boleh terjebak dengan hakim nasyid ni pun tak tau la...hentam saja la labu...

Sir Ameiruel Azwan (cekgu BI tu...) pun turut terjebak jadi hakim nasyid...

Ni rasanya kumpulan yang menang pagi tadi...boleh tahan jugak la penangan dorang

Majlis penyampaian hadiah...tu la kut yang menang tadi...

Esok pulak 23 April 09 ada Pesta Pantun Peringkat Daerah Membakut. Yang bestnya ni esok cuma jadi tukang tangkap gambar jer...tapi dapat surat perlantikan dan siap perlepasan tugas lagi.....best jugak...sambil-sambil dengar orang berpantun kat bilik sebelah boleh layan RPH minggu nih yang tertunggak dua, tiga hari.....ngan kerja-kerja perkeranian lain....

(PS : Yusman n Takilala bawak la dslr tu layan orang berpantun sok....)

Ntahla...keje jadi cekgu ni memang tak putus-putus kan. Kalo la cekgu ni mengajar jer kan syiok...macam pensyarah-pensyarah u tu....Bila la nak jadi cam tu ek...?

Ok la, cukup la 'bakunyanyang' kali nih, nanti ada masa sambung lagi kay...

Teruskan bersantai ngan blog nih...

Selamat santai....


Tuesday, April 21, 2009

Ulangtahun Perkahwinan AZMANASMA ke 8

'AZMANASMA'
Selamat menyambut Ulangtahun perkahwinan ke 8


Salam,

Alhamdulillah, dalam kesibukan meneruskan tugas-tugas harian genaplah sudah 8 tahun perkahwinan kami Norazman Md Noh dan Khairulasma Shapiai atau singkatan yang biasa diguna dalam emel, nickname, username atau tulisan lain ialah 'azmanasma'. Tarikh keramat pernikahan kami iaitu pada 21 April 2001 telah menyatukan kami hingga sekarang ALHAMDULILLAH.....

Kisah Terdahulu

Kisah bermula pada tahun 1993 / 1994 sewaktu kami sama-sama dalam satu kelas tingkatan 4 dan 5 Bukhari di SMKA Sultan Azlan Shah, Bota, Perak. Waktu tu setakat minat-minat jer dan dapat pandang dari jauh jer....jauh sekali dapat bercakap macam bebudak sekarang. Dapat jeling-jeling sekali sekala pun jadi lah. Maklumkah kat sekolah agama mana boleh cintan cintun dan menjadi satu kesalahan besar bila di dapati pelajar ada hubungan cinta (sekarang pun sama). Jadi, masa tu hubungan cinta tu dah berputik dalam hati masing-masing jer la....

Hubungan (berdasarkan perasaan masing-masing - pakai bluetooth kut masa tuh) yang ntah macam mana nak cerita pun tak tahu mendapat tentangan hebat dari guru-guru dan ustaz-ustazah yang mengajar kami padahal tak pernah ada hubungan secara rasmi pun cuma dalam hati jer. Mungkin perkara ni timbul dari mulut rakan-rakan rapat yang kami bercerita pada masa tu 'ana minat/suka kat budak ni...'(cakap arab daa....sekolah agama kan...). Bukanlah tentangan yang macam mana pun...cuma teguran-teguran ikhlas dari guru-guru kami jer yang macam dah nampak bibit-bibit percintaan kut....Walaubagaimanapun, hubungan dari hati ke hati dan dari jauh tu berkekalan hingga tamat sekolah....

Hari Raya Aidilfitri

Tak tau la nak cakap macam mana, masa tu mak ayah kami berdua pun agak sporting sebab mereka selalu jumpa dalam acara sekolah macam Majlis Solat Hajat, Mesyuarat PIBG dan lain-lain. Jadi, satu hari di hari raya ajakla mak ayah pergi ke rumah budak Khairulasma ni...hmmm berani, berani je la nak ziarah kan sebab hari raya kan...takkan nak halau pulak kan...tapi masa tu kami masih sekolah lagi....Perasaan debar-debar ketika nak sampai ke rumah tu jangan cakap la...nak meletop rasa dada ni...tapi, alhamdulillah kami diterima sebagai tetamu dan bermula lah hubungan secara rasmi (sebab mak ayah nampak macam bagi laluan).

Sejak dari tu, selalu lah kami dari Ipoh datang berziarah ke Kuala Kangsar (dengan mak ayah sekali aa...) walaupun bukan di hari raya. Perjalanan satu jam dirasakan tersangat lama. Mereka seakan-akan faham bahawa anak-anak mereka ini suka di antara satu sama lain....

Lepas SPM masuk UIA

Alhamdulillah, keputusan SPM 94 kami agak baik (biasala, sekolah asrama penuh). Dua-dua dapat masuk universiti...tapi malangnya sorang di UIA, PJ dan sorang di UIA-KUSZA K. Terengganu (sekarang dah takde dah sebab masa tu usaha DSAI nak naik taraf KUSZA sebagai universiti-sekarang KUSZA dah jadi Universiti Darul Iman). Mulalah hubungan secara jarak jauh (PJJ jer la). Masa tu kalau tulis surat bekajang-kajang, memang tak kurang dari lima helai setiap kali hantar dan seminggu agak-agak dalam dua kali kut....he..he..he...seronok rasa bila dapat surat....macam cas bateri la...

Selama 6 tahun berlalu (2 tahun matrikulasi dan 4 tahun ijazah) hubungan PJJ berterusan dan kami memang jarang bertemu kecuali ziarah ke rumah dengan mak ayah macam dulu. Tak banyak rintangan sebab kami duduk berjauhan, asyik rindu-rinduan jer la...

Lepas habis belajar mulalah bercakap ngan mak ayah terus terang kami nak kahwin sebab tak elok berhubungan tak berkahwin nih. Mak ayah tak ada halangan, kasi kahwin jer la sebab prestasi baik kan selama nih....he..he..he..

Gerbang Perkahwinan

Maka pada tanggal 21 April 2001 berlangsunglah perkahwinan kami dan masa tu bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran Takaful Keluarga (EPTK) Takaful Malaysia di Seri Manjung. Gaji tak banyak RM 300.00 + insentif beberapa ratus. Masa tu gaji tak sampai RM 1 k pun tapi alhamdulillah semua rasanya macam mewah jer...hidup secara sederhana.

Setelah dua tahun bekerja ngan Takaful Malaysia dan di sahkan jawatan datang la surat yang ditunggu-tunggu iaitu dapat KPLI. Masa tu Akrammi dah ada. Sorang di MPI, Bangi dan sorang MPTAA, K. Lipis, Pahang dan Akrami di Ipoh dengan tok ayah dan mak tok, sesekali dengan opah dan atuk.

Habis KPLI terus mintak posting ke Sabah sebab tak sanggup berjauhan lagi. Asyik PJJ jer...dari awal mana tahan ye tak...? he..he..he..

Bertugas di SABAH Negeri Di Bawah Bayu

Bermula dari tahun 2004, satu hijrah besar berlaku dalam kehidupan kami. Akrami masa tu dalam setahun setengah kut...Dua-dua di SMK Membakut II hinggalah isteri di tukarkan ke SMK Membakut atas alasan opsyen Kelas Kemahiran Quran (KKQ).

Alhamdulillah banyak kenangan pahit dan manis yang kami berdua lalui bersama dari dulu hingga sekarang. Rupanya sudah 8 tahun kami berkahwin (walaupun sebelum itu 8 tahun bercinta PJJ). Sekarang kami memang tidak dapat dipisahkan lagi. Kasih sayang semakin kuat dan utuh.

Sekali kali setinggi kesyukuran kepada Allah kerana memanjangkan usia perkahwinan kami hingga sekarang dan harap hingga ke akhirnya......

Begitulah cerita sikit-sikit, macam panjang lah pulak posting pasal ulangtahun perkahwinan nih...kepada pembaca yang baik tu boleh kita berkongsi bersama, kalau ada yang tak baik tu tak payahla ikut (khusus kepada anak-anak didik yang baca posting nih...)

Doakanlah semoga usia perkahwinan kami hingga ke akhirnya dan hidup bahagia di dunia dan akhirat....

Gambar kenangan sekeluarga di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar
semasa melawat ke sekolah lama Madrasah Idrisiah
(Opah ngan Atuk Akramie)

Gambar kenangan sekeluarga semasa di Hotel UiTM Shah Alam Selangor
(Tok ayah ngan Mak tok Akramie)

Selamat santai semua...dan

SELAMAT HARI ULANGTAHUN PERKAHWINAN KITA BUAT ISTERIKU TERCINTA - KHAIRULASMA SHAPIAI




Teguran biarlah HIKMAH

Jangan suka pukul orang....Gambar sekadar hiasan

HIKMAH itu ertinya bijaksana. Berhikmah dalam membuat teguran itu bermaksud berusaha menggunakan kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu teguran agar kumpulan sasaran dapat menerima serta melakukan perubahan berdasarkan teguran yang diberi. Di samping itu, adalah diharapkan teguran tersebut berhasil membawa lebih banyak kebaikan berbanding mudarat.

Sebagaimana maksud ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud bahawa kita dituntut untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan (suruhan Allah) serta menjauhi kemungkaran (larangan Allah).

Justeru, membuat teguran berkenaan perkara yang berkaitan tuntutan hukum agama adalah perlu kerana perintah dan larangan Allah itu mengandungi kebaikan buat insan. Apabila hukum agama ditegakkan, maka ia bakal membuahkan kecemerlangan dan kemaslahatan umat.

Di samping itu, teguran juga dibuat berkenaan kesilapan yang tidak disengajakan. Umpamanya guru menegur murid yang melakukan kesilapan pengiraan dalam kerja rumah Matematiknya. Hal ini dilakukan demi mencapai kesempurnaan dalam pelaksanaan sesuatu kerja itu.

Walau bagaimanapun, hakikatnya kita hanya mampu berusaha menyampaikan teguran atau nasihat, manakala hidayah untuk menerima dan berubah itu adalah milik Allah. Allah jua Maha Pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya berasa kecewa atau putus asa andainya kumpulan sasaran kita tidak menerima teguran kita. Sebaliknya kita perlu berusaha menilai upaya menegur kita agar lebih berkesan di lain waktu.

NIAT TEGUR UTK PENAMBAHBAIKAN

Dalam pada kita hendak melakukan teguran berkenaan sesuatu kesalahan, perkara pertama yang perlu dinilai terlebih dahulu ialah apakah maksud niat kita untuk melakukan teguran tersebut.

Adakah kita menegur demi menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik, atau adakah untuk membidas seseorang itu demi memalukannya? Dan adakah kita ada maksud tersendiri dalam menegur umpamanya demi memelihara kepentingan diri ataupun melepaskan kesalahan sendiri kepada bahu individu lain?

Andainya niat kita tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu teguran itu ditakuti bahawa keburukan yang bakal timbul kelak. Misalannya, hubungan menjadi renggang, kumpulan sasaran semakin hanyut dengan kesalahannya, ataupun mungkin menjurus kepada fitnah.

TEGAS DALAM SANTUN

Santun dalam membuat teguran itu bermaksud kita menggunakan budi bahasa yang baik serta suasana yang kondusif untuk melakukan teguran. Dengan adanya santun, seseorang itu boleh membuka bicara dengan menanyakan keadaan individu sasaran itu, seperti adakah dia sudah makan atau sebagainya.

Kita juga boleh membaca riak muka orang yang ingin ditegur sama ada adakah dia berada dalam keadaan gembira, sedih, keletihan dan sebagainya. Melalui maklumat ini, kita mungkin boleh menilai sama ada ia merupakan waktu yang sesuai untuk menegur.

Namun dalam kesantunan melakukan teguran perlu ada ketegasan. Apa yang ditanggapi sebagai salah tetap salah, walaupun kadang kala pendekatan yang digunakan tidak popular atau tidak disukai oleh orang yang ditegur.

Di samping itu, kita perlu memastikan bahawa kita sentiasa dapat mengawal emosi apabila menegur. Ini kerana apabila emosi dibiarkan menguasai diri, di kala itu bukan akal yang memandu percakapan atau perbuatan kita, sebaliknya nafsu amarah yang mungkin boleh mendorong kita melakukan sesuatu perkara yang di luar dugaan.

Aspek teguran juga perlu jelas, yakni merujuk kepada isu utama yang diperbincangkan. Teknik teguran XYZ yang dicadangkan oleh seorang ahli psikologi yang bernama Haim Ginott adalah sebuah teknik yang baik untuk dicuba dalam menegur.

Teknik tersebut mencadangkan kepada kita untuk menggunakan frasa berkenaan untuk menegur, “Apabila anda melakukan perkara X, ia membuatkan saya berasa Y, sebaliknya saya lebih menyukai anda melakukan perkara Z”.

Maka apabila sesuatu kesalahan itu ingin diperbetulkan, maka adalah baik untuk kita membincangkan kesalahan tersebut, dan bukannya menyentuh peribadi seseorang itu seperti melabelkannya secara rambang.

Suasana teguran itu juga mungkin bermanfaat jika berada dalam situasi kehadiran individu lain secara minimum, agar keaiban orang yang ditegur itu dapat terpelihara di samping menjaga kehormatannya. Hal ini juga mampu membuatkannya lebih terbuka dalam menerima teguran tersebut.

PENGAJARAN BUAT INSAN LAIN

Walau bagaimanapun, terdapat situasi di mana sesuatu teguran itu dianggap akan lebih berkesan sekiranya dilakukan secara terbuka, iaitu dengan kehadiran atau pengetahuan orang-orang lain berkenaan teguran tersebut.

Ini kerana tujuan teguran tersebut turut mempunyai maksud pengajaran bermakna yang boleh diteladani oleh orang-orang lain agar mereka berusaha untuk tidak melakukan kesilapan yang serupa di samping memelihara kemaslahatan masyarakat umum.

Misalnya, seorang anak ditegur dan dimarahi oleh si bapa di hadapan anak-anak yang lain kerana si anak pulang ke rumah pada waktu lewat malam. Di sini anak-anak yang lain turut mendapat pengajaran agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Si bapa juga dapat menjelaskan pendiriannya secara tidak langsung kepada anak-anaknya.

TEGURAN YG BERSIFAT UMUM

Sesuatu teguran itu juga boleh dilakukan secara umum yang diuar-uarkan dalam sesuatu perhimpunan atau melalui media tetapi tanpa menyebut secara terperinci berkaitan butiran teguran itu.

Sebagai contoh, nama dan kisah terperinci tidak dijelaskan sebaliknya hanya dibuat teguran bersifat umum tanpa merujuk kepada mana-mana pihak. Adalah diharapkan agar pihak yang ditegur itu dapat memahami bahawa maksud teguran itu ditujukan kepada dirinya serta menerimanya dengan lapang.

Di samping itu, mungkin akan ada individu lain yang pada asalnya bukan merupakan kumpulan sasaran tetapi turut berasakan bahawa teguran tersebut ditujukan kepada dirinya. Maka itu adalah satu bonus dalam mengguna pakai kaedah teguran ini yang boleh juga bersifat serkap jarang.

Bak kata pepatah, “sesiapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.”

Kesimpulan

Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Justeru kita disyariatkan untuk saling mengingati antara satu sama lain. Dalam pada kesediaan kita untuk menegur kesilapan orang lain, kita juga harus bersedia menerima teguran orang lain terhadap diri kita.

Bagi yang menerima teguran, tidak dinafikan ia begitu pahit diterima dan belum tentu benar atau salah sifatnya, namun tidak seharusnya teguran tersebut ditolak secara mentah-mentah hanya kerana tidak selari dengan pendirian kita atau kerana ia datang daripada pihak yang tidak disukai. Berfikirlah dahuku sebelum membuat teguran dan tegurlah dgn cara yg berhemah

Oleh Mohd. Farid Md. Alias (fikrahremaja@yahoo.com)
Copy and paste dari http://unitkokosmkmengkuang.blogspot.com

Selamat santai....


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails